Selasa, Jun 22, 2010

Suara dari Kisi-kisi Besi (1) @ The Wall Speaks

Di Sebalik Topeng Sang Algojo (The Mask of Algojo)



Malam tadi, 21 Jun 2010/8 Rejab 1431 Hijrah, pada jam 10.00, Penjara Pudu dirobohkan. Penjara yang dibina pada tahun 1891 itu dirobohkan atas nama pembangunan. Berita mengenainya yang disiarkan dalam Buletin Utama membuatkan saya sedih di ketika itu juga. Saya tahu rasa sedih ini juga mungkin turut dirasai oleh sesetengah orang, terutamanya mereka yang berjuang cuba mempertahankannya daripada merunduk dan akhirnya menjadi debu.

Dalam kesedihan itu, fikiran saya melayang teringat akan kenangan silam. Beberapa tahun yang lalu, saya berkesempatan mengunjungi Penjara Pudu yang dibuka kepada orang ramai menerusi Pameran Pandang, Cahaya dan Bunyi. Bersama beberapa anggota keluarga, kami meneroka bangunan agam itu dari ruang ke ruang, dari sel ke sel, dari tempat mandi yang terbuka, padang senaman, sel akhir, bilik gantung, dan bilik mayat. Setiap langkah kaki menyuntik rasa yang berbeza-beza. Rasa gementar, seram, ngeri, dingin, marah, berbaur. Grafiti yang menghiasi dinding sel, menyuntik rasa lucu, dan selebihnya membawa rasa merasai rasa kecewa, sesal, derita, dan sengsara penghuninya.

Melangkah pula ke sel akhir, iaitu sel banduan ditempatkan sebelum menghadapi hukuman gantung, cukup untuk menguji seluruh rasa dan iman - takut, sedih dan insaf . Apabila masuk ke bilik gantung sahaja, melihat pula gear penarik tali gantung,  sudah cukup untuk membuat kita mahu menjadi orang yang baik dan baik-baik sahaja. Di dalam bilik gantung, pengunjung diheret untuk menyaksikan dan merasai detik-detik akhir pesalah sel akhir. Pengunjung akan “ditawan” di dalam bilik yang dikunci. Yang kelihatan ialah tali gantung, gear penarik, topeng hitam dan sarung tangan algojo atau pertanda, topeng hitam untuk menutup muka pesalah. Lampu pula dipadamkan. Yang kedengaran hanyalah audio degupan jantung, langkah kaki pesalah yang amat lemah, dan suaranya yang menggigil ketakutan, derap sepatu petugas penjara, suara ustaz mengajar dua kalimah syahadah, dan suara pembaca hukuman. Selesai hukuman dibaca dan setelah mendapat arahan, gear penarik di tarik kuat. Prrraaaakkkk!!! Oh ... bunyinya sangat mnyentap jiwa.  mengerikan, ngilu, seperti bunyi break besar dan berat yang berkarat. Sehingga ke hari ini, saya masih ingat akan bunyi itu.

Detik saya di Penjara Pudu itu memberikan impak dan pengalaman yang amat bermakna dan berharga, sekali gus mengingatkan saya/kita agar cuba melayari hidup ini dengan baik dan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan takdir hidup kita dijauhi daripada menghuni tempat sebegini. Pada pandangan saya, jikalau Penjara Pudu (atau sebahagiannya) masih dikekalkan dan dibuka kepada orang ramai, mesej tentang peri pentingnya tadbir urus kehidupan yang baik, dengan baik yang berlandaskan amalan hidup yang mulia dan nilai-nilai agama dapat disampaikan kepada sekian banyak orang yang mungkin. Bukti-buktinya ada di dalam bangunan agam yang berusia lebih satu abad itu. Aduhai ... nilai pembangunan nyata pada hari ini ternyata lebih berharga dan penting berbanding dengan nilai pembangunan tidak nyata seperti pembangunan insan melalui apa-apa sahaja bentuk dan kaedah pendidikan. 
* Dari kaca jendela pejabat saya ini, jelas kelihatan Penjara Pudu yang menanti saat untuk rebah semuanya. Untung, saya sudah merakamkan beberapa keping gambar sebagai kenangan dan dokumentasi.

* Suara dari Kisi-kisi Besi # - tentang kunjungan saya ke Penjara Kajang, menemubual banduan.

6 comments:

Muhammad Azli Shukri berkata...

sememangnya penjara pudu membawa sejuta kenang..khususnya bagi penduduk di sekitar penjara tersebut...dari Dewan Bahasa ke Penjara Pudu...

ritahyahaya berkata...

Sdr. Azli,

Betul tu... Dalam sebuah filem P.Ramlee, kalau tak salah tajuknya Dr. Rusdi, disiarkan visual Penjara Pudu pada tahun 1960-an, waktu tu, nampak Penjara Pudu seketul, yang lain-lain hutan/padang. Sesuai sangatlah lokasinya pada masa tu.

Elok PP dikekalkan untuk dijadikan monumen peringatan buat kita.

Tanpa Nama berkata...

Saudari seorang yang cukup bertuah kerana dapat mengutip pengalaman yang luar biasa. Kalau saya di KL masa tu, saya pasti tak mahu melepaskan peluang.

ritahyahaya berkata...

Sdr. Tanpa Nama,

Terima kasih. Jika ada pelunag kita timbalah ilmu dan pengalaman dalam apa sahaja bentuknya kerana ia akan membuka pandangan sarwa kita tentang manusia dan persekitaran kita.

rni berkata...

Salam Rita,
sedih tul n3 kali ni......kalu dulu robohnye Kota Melaka ini plak robohnye sebuah penjara......apakan daya masa berubah...dan datuk bandar berubah-ubah....!!!!!

ritahyahaya berkata...

Sdr. RNI,

Betul kata sdr., memang sedih. Saya sampai saat ini masih sedih. Nanti, saya paparkan visual yang menggambarkan kesedihan orang lain juga tentang Penjara Pudu. Benar pepatah omputeh, "Time change, people change".

Teringat pantun yang sayu ini:

Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa saya serahkan...