Isnin, Mac 08, 2010

Tentang Pembaris dan Kanta

Bermula esok, 9 Mac 2010 hingga 10 Mac 2010, Seminar Bahasa Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) akan diadakan di graha ilmu ini bersempena dengan Sidang MABBIM ke-49. Pengisian seminar selain pembentangan kertas kerja, ialah pelancaran buku. Pada kali ini, tiga buah buku yang ditangani oleh tiga orang karyawan (termasuk saya) di bahagian saya bertugas sekarang akan dilancarkan. Buku-buku yang dijangka akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu ialah Carik-carik Bulu Ayam oleh Prof. Datuk Dr. Asmah Haji Omar, Tokoh Pembinaan Bahasa Melayu Serantau: 35 Tahun MABBIM dan Kajian Keberterimaan Istilah MABBIM dalam Bidang Ekonomi dan Perbankan.

Antara ketiga-tiga buku ini, saya telah dipertanggungjawabkan untuk menangani buku Kajian Keberterimaan Istilah MABBIM dalam Bidang Ekonomi dan Perbankan. Buku ini merupakan hasil pemurniaan suntingan dan selenggaraan saya yang pertama (yang sepenuhnya) sejak berkhidmat di bahagian baharu ini. Ya, saya sedikit berdebar-debar kerana buku ini akan menemui khalayaknya bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di luar negara, iaitu di peringkat Asia Tenggara.

Sedikit tentang buku Kajian Keberterimaan Istilah MABBIM dalam Bidang Ekonomi dan Perbankan ini - sehingga kini sebanyak 128 693 istilah telah disepakati pada peringkat Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan diterbitkan. Namun, belum ada kajian yang dijalankan untuk menilai tahap penggunaan istilah yang telah disepakati ini. Persoalan tentang jumlah istilah yang diterima pakai oleh pengguna dan yang tidak diguna pakai masih lagi belum terjawab. Oleh hal demikian, Kajian Keberterimaan Istilah MABBIM dalam Bidang Ekonomi dan Perbankan bertujuan untuk menilai tahap pemasyarakatan dan penggunaan istilah ekonomi di pusat pengajian tinggi dan istilah perbankan dalam urusan kewangan di institusi perbankan. Selain itu, kajian ini juga ingin melihat sikap petugas dan pengguna terhadap istilah perbankan yang dihasilkan oleh MABBIM dalam urusan kewangan, dan sikap pensyarah dan mahasiswa di pusat pengajian tinggi terhadap istilah ekonomi bahasa Melayu/bahasa Indonesia. Sementara, dua buah buku yang lain itu mengajak pembaca menyoroti peristiwa bahasa dan tokoh bahasa yang mewarnai MABBIM.

Saya amat bersyukur kepada Yang Maha Esa atas kelancaran penerbitan buku ini dari awal hingga akhir, iaitu menepati tarikh yang ditetapkan, mendapat kerjasama yang baik daripada Puan Zaiton Ismail, dan penghasilan reka bentuk serta reka letak yang ringkas tetapi menarik. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Puan Zaiton, Encik Mohamad Hassan (pereka bentuk) yang berjaya menghasilkan visual kulit buku yang menarik, Puan Faridah (pereka letak) Encik Daud dan Encik Abdillah (Dawama Sdn. Bhd.), dan tidak lupa juga kepada Haji Arshad Rawian (Ketua Bahagian saya), dan Puan Wan Patanah (Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa).
Semoga buku ini dapat dijadikan kayu ukur dan kanta untuk mengukur dan melihat sikap dan tahap keyakinan kita terhadap bahasa Melayu.
*Satu kebetulan: Setelah gambar pembaris yang memfokuskan angka antara 9 dengan 10 dimuat turun, barulah saya perasan bahawa angka tersebut bersamaan dengan tarikh Seminar Bahasa MABBIM (9 Mac - 10 Mac 2010).

3 comments:

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Tahniah puan! Teruskan kecemerlangan puan walau di mana saja puan berada.

Tanpa Nama berkata...

Kita sentiasa memerlukan pembaris dan kanta dalam hidup. Tidak lupa juga cermin dan lampu suluh/obor supaya kita dapat melihat dan menyuluh.

Tanpa Nama berkata...

Kita sentiasa memerlukan pembaris dan kanta dalam hidup. Tidak lupa juga cermin dan lampu suluh/obor supaya kita dapat melihat dan menyuluh.