Dalam sesi pengenalan diri watak dalam rancangan Cak-cak (CC)Azwan Ali, dialog akhir yang setiap watak akan ujarkan ialah “Ada Aku Kisah?, Cak-cak,ca-ca-ca-ca-cak …”
Ungkapan ini akan menjadi sangat lucu kepada saya apabila diungkapkan oleh Jaafar Onn atau Rosnah Mat Aris. Bagi saya, mereka memiliki wajah dan air muka komedi yang sangat tebal setiap kali muncul di kaca tv. Malah, sejak akhir-akhir ini Abang Jeff dan Kak Ros adalah antara pengogak-ogak (tukang lawak) yang berjaya mencuri perhatian saya sejenak.
Namun, di sebalik lawak merapu CC, saya sebenarnya tertarik oleh ungkapan “Ada Aku Kisah?”,yang juga menjadi tag line CC. Sebenarnya, jika direnungkan, “Ada Aku Kisah?” membawa makna yang unik jika dilihat dari aspek bahasa, khususnya aspek psikolinguistik. Ungkapan ini unik kerana maknanya boleh dipositifkan atau dinegatifkan – terpulang kepada pengucap atau pendengar frasa itu untuk memilih makna yang mana untuk dimaknakan dan ditafsirkan.
"Ada Aku Kisah?” boleh menjadi positif jika ungkapan ini dilihat sebagai “penawar” atau mangkin yang dapat meredakan gejolak “jiwa kacau”. Namun, perlu diingatkan bahawa bukan semua perkara yang boleh kita mudahkan dengan “Ada Aku Kisah?” Ungkapan ini hanyalah terbatas pada hal-hal yang bersifat “kulit bawang” atau remeh, dan perkara-perkara yang tidak merosakkan akidah dan iman. Maksudnya, hal-hal yang jika terlalu dilayan, mungkin akan merosakkan akal fikiran dan mematikan jiwa. Oleh itu, jika kita sedang berdepan dengan hal-hal
"kulit bawang”, selain banyak beribadah dan berdoa, bagi mewujudkan rasa lucu dan lega dalam diri, sebagai motivasi dan escapisme, ujarkanlah “Ada Aku Kisah???”.
Ungkapan ini merupakan salah satu contoh terbaik tentang fungsi bahasa dan lakuan bahasa, iaitu bahasa mempunyai fungsi ekspresif dan fungsi konatif, dan lakuan ilokusioner. Agak-agaknya, apakah ungkapan yang sesuai dan mempunyai maksud yang sama dengan “Ada Aku Kisah?” dalam bahasa Inggeris? “Do I care?” (mungkin). Rasa-rasanya, kesan rasa yang akan diperoleh tentulah tidak sama seperti yang terungkap dalam bahasa Melayu yang unik.
*Dalam hal ini, berjasalah juga Azwan Ali yang telah mempopularkan ungkapan “Ada Aku Kisah?” walaupun tindak-tanduknya yang “panas” tidak lepas daripada diperkatakan. Ungkapan ini juga saya popularkan dalam kalangan rakan-rakan dan menjadi lelucon antara kami.
Salam Maal Hijrah!
*Dalam hal ini, berjasalah juga Azwan Ali yang telah mempopularkan ungkapan “Ada Aku Kisah?” walaupun tindak-tanduknya yang “panas” tidak lepas daripada diperkatakan. Ungkapan ini juga saya popularkan dalam kalangan rakan-rakan dan menjadi lelucon antara kami.
Salam Maal Hijrah!

9 comments:
Menarik dan geli hati. Mungkin puan boleh bincangkannya dengan mendalam dalam seminar bahasa. Tahniah! Sesuatu yang membuka minda saya.
Layak dah Ritah nak jadi guru bahasa
Sdr. Nassury,
Hish... jauh lagi tu nak jadi seperti sdr.
Satu rencana yang menarik, rasa macam membaca artikel dalam Dewan Bahasa yang ditangani saudari suatu masa dahulu!
Walau di mana pun saudari berada, jangan disi-siakan bakat dan minat yang ada. Suatu hari nanti, Tuhan pasti meletakkan saudari di tempat yang sewajarnya.
Saya sentiasa mendoakan kejayaan saudari dari jauh.
selamat berkarya!
Sdr. RFTGG,
Ribuan terima kasih atas respons dan doa. Saya sebenarnya amat tertarik dengan ungkapan dan maksud di sebaliknya, sama ada positif ataupun negatif. Boleh menjadi salah satu terapi minda dan jiwa.
Saudari Ritah, Yang Budiman Dan Dedikasi
Saya lama tidak singgah di teratak saudari ini, mula-mulanya biarlah saya ucapkan TAHNIAH atas kejayaan saudari yang menerima anugerah kecemerlangan. Insan seperti saudari memang selayaknya dengan anugerah itu. Malah jika saudari bukan di bahagian malajah, sudah lama saudari menerima penghargaan itu. Nilaian saya adalah berdasarkan kerja yang saudari beri kepada rakyat dan negara melalui majalah Dewan Bahasa. Setelah mengetahui saudari bukan lagi mengemudi Majalah tersebut, saya rasa tiada gunanya lagi majalah itu. Kalau kain mahal, tetapi tukang jahitnya tidak mahir, sia-sialah kain itu. Tiada siapa mahu memakainya.
Saya ada juga mendapat maklumat tentang perihal perjawatan di Dewan Bahasa ini. Perihal perlantikan pegawai tetap daripada jawatan kontrak, perihal pemotongan bajet dan segala macam lagi. seperti ada yang tak betul dalam kebanyakan hal perjawatan misalnya. Namun saya tidak pasti, biarlah Tuhan menentukannya.
Sekali lagi, Tahniah kepada saudari Srikandi Pejuang Bahasa Ibunda Tercinta.
Ikhlas,
Dato Adil
Cyberjaya.
Dato'Adil,
Ribuan terima kasih atas ingatan dan penghargaan. Alhamdulillah, dengan takdir-Nya saya memperoleh anugerah dunia itu. Apa-apapun setiap kita perlu sentiasa berpegang dan tidak berputus harap pada janji-janji-Nya yang tidak pernah mungkir.
Saya bukanlah siapa-siapa. I'm just a tiny little screw in a big machine.
*Dato', selamat menyambut tahun baharu 1431 Hijrah dan 2010. Semoga kita sentiasa meningkatkan upaya untuk berlapang dada, menyucikan jiwa dan bertakwa demi mendapat keberkatan dan keredaan hidup di dunia serta akhirat.
Salam ziarah;
Mohon bantuan teman-teman mewar-warkan kepada teman2 lain,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,
KALAM dengan kerjasama pelbagai NGO lain akan mengadakan “HARI PEJUANG BAHASA” pada 15 Februari 2010 (Isnin) bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Insya Allah majlisnya akan dilancarkan oleh YB Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka,
Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi sdr Ikram 012-2908429 atau sdr taib 017 2760100
TAKBIR!
Sdr. Farmilla,
Tahniah!Terima kasih dan Insya-Allah. Apakah antara pengisiannya?
Catat Ulasan